Hari-hari kita mendengar mengenai kempen kebersihan tidak kira di dada
akhbar, kaca tv, mahupun di corong radio. Masing-masing dengan cara
yang tersendiri untuk menerima mesej kebersihan ini. Tetapi benarkah
mereka mendengar seruan itu atau kempen itu juga sama sahaja seperti
mendengar hiburan pada mereka? Jika benar, maka tidak hairan lah masih
terdapat sampah bergelimpangan di jalan-jalan raya, taman rekreasi,
atau di mana sahaja. Demi mengatasi kekurangan pada mesej yang hendak
disampaikan itu, bermacam-macam cara telah dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu DBKK) seperti Kempen Anti Kutu Sampah, City Friend, Koordinator Bandaraya, Jawatankuasa Micro Enterprise, Gotong-royong Perdana dan sebagainya. Jika hendak disebutkan di sini memang
sudah terlalu banyak sekali. Jadi adakah pembuangan sampah di merata
tempat oleh masyarakat disebabkan kempen kebersihan yang kurang?
Mungkin benar tetapi kesalahan bukan terletak pada kempen yang kurang
tetapi terletak pada individu itu sendiri.
Kewajipan menjaga kebersihan alam sekitar adalah terletak sepenuhnya di
tangan kita. Sudah tiba masanya setiap anggota masyarakat membuang
sikap ‘pa sia peduli' dalam diri masing-masing untuk demi melindungi dunia
daripada melakukan pemusnahan terhadap alam sekitar secara berterusan.
Ia merupakan tugas dan kewajipan akhlak kita di muka bumi ini untuk
menjaga dan memelihara alam sekitar kita sebagaimana ia telah memberi
pelbagai manfaat kepada kita berabad lamanya.